Nas-nas yang menceritakan tentang golongan kafir, munafiqin dan golongan murtad, sepatutnya menjadi petanda yang mesti dipegang oleh kaum muslimin dan mereka mesti berhati-hati agar mereka tidak terlibat dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh golongan-golongan tersebut. Mereka hendaklah tidak berakhlak dengan akhlak kaum munafiqin, dengan mempunyai sifat takabbur terhadap para da`i yang mempunyai kelebihandan juga terhadap pemimpin, sekalipun dengan alasan yang amat kecil. Kerana yang kecil akan membaca kepada yang besar. Dosa yang kecil akan membawa kepada dosa yang besar. Sekalipun demikian banyak amaran yang diberikan, kita masih mendengar daripada kalangan ahli masih melemparkan tuduhan dan berakhlak dengan akhlak tersebut. Berapa ramai orang yang mempunyai kelebihan dituduh melakukan keburukan. Berapa ramai orang yang bertaqwa dituduh melakukan kekejian. Berapa ramai orang yang alim dituduh jahil. Itulah sifat fitnah yang menjadikan mata buta dan menghilangkan pertimbangan akal yang waras.
Pernah berlaku di dalam jamaah satu fitnah di mana salah seorang pelopornya membuat tuduhan terhadap pemimpin jamaah dengan mengatakan bahawa beliau tidak memahami masalah fikah sedikitpun. Apa yang diketahuinya tentang fikah hanyalah pada masalah haidh dan nifas sahaja. Peristiwa ini sudah lama berlaku. Kemudian pada satu ketika, ada seorang penulis terbaca rangkap-rangkap yang ditulis oleh `Amru bin `Ubaid -seorang mu`tazilah- yang berkata:
"Tidakkah kamu telah mendengar, perkataan al-Hasan dan Ibnu Sirin tidak lain dan tidak bukan hanyalah cebisan kain buruk yang digunakan untuk mengesat darah haidh."
Diriwayatkan bahawa seorang pemimpin ahli bid`ah ingin mengatakan bahawa ilmu kalam itu lebih baik daripada ilmu fikah, lalu dia berkata: "Kesemua ilmu Shafi`i dan Abu Hanifah tidak lebih hanya keluar daripada seluar seorang perempuan." (Al-I`tisam, al-Shatibi, 2/239)
Kita juga telah mendengar bahawa penduduk Kufah berkata tentang Sa`ad bin Abi Waqqas bahawa beliau tidak dapat membaca al-Quran dengan baik. Kita juga telah mendengar daripada orang-orang yang menyerupai ahli fitnah mengatakan bahawa para pemimpin jamaah kita tidak mampu membaca al-Quran dengan baik. Kita juga telah membaca apakah yang dikatakan terhadap Uthman r.a. ketika beliau mengutamakan kaum keluarganya, bahkan kita mendengar ahli-ahli fitnah sentiasa mengulang-ulangi tuduhan yang sama.
Maha suci Allah. Hati-hati dan lidah-lidah mereka amat hampir dan serupa.
Firman Allah:
Maksudnya: "Apakah mereka semua saling berpesan dengannya (apa yang mereka katakan), bahkan mereka adalah kaum yang melampaui batas." (Al-Zariyat: 53)
Petikan-petikan yang pendek di atas adalah diambil daripada nas-nas yang panjang. Hanya berpada dengan sebahagian nas tersebut kerana ia sudah sesuai dengan gambaran yang hendak ditunjukkan dan perbandingan yang hendak diwujudkan, di samping kata-kata semasa yang dinukilkan. Adalah amat patut agar setiap tuduhan menjadi lambang kepada salah satu syiar yang sentiasa diulang-ulangkan dan keraguan-keraguan yang dibangkitkan. Kita pernah mendengar dan sehingga sekarang kita masih mendengar, ada di antara ahli fitnah yang menuduh sesetengah pemimpin membelanjakan wang yang dipungut hasil derma, sebagaimana al-Zayyal di tuduh dahulu. Ada yang dituduh tidak pandai membaca al-Quran. Sedang yang lain pula dituduh berniaga dengan harta syubhat. Sementara yang lain pula dituduh memiliki ciri-ciri bid`ah dan ijtihad yang menyeleweng. Kemudian ada pemimpin yang dituduh tidak memahami permainan politik. Qiaskan apa yang berlaku sekarang dengan apa yang telah berlaku dahulu.
Al-Quran telah memberikan amaran kepada kita daripada terlibat dengan tuduhan-tuduhan tersebut, kerana ia merupakan syiar golongan kafir. Fir`aun telah berkata tentang Nabi Musa a.s.: Maksudnya: "Dan Firaun berkata: "Biarkanlah aku membunuh Musa dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya, kerana aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi." (Ghafir: 26) Maksudnya: "Dan berkata pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah kamu (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)." (Al-A`raf: 127)
Di sini kita dapati bahawa golongan kafir dan nifaq sentiasa mendakwa mereka berada di atas kebaikan dan kebenaran di hadapan kaum mukminin. Adakah gambaran yang lebih menjelaskan tentang perkara ini daripada kata-kata Fir`aun yang sesat dan penyembah berhala tentang Nabi Allah Musa a.s. "bahawa aku bimbang dia akan menukarkan agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi"?? Bukankah inilah perkataan yang turut digunakan oleh setiap taghut yang melakukan kerosakan di muka bumi, dan mereka yang mendakwa melakukan pembaikan? Bukankah ia merupakan perkataan batil yang hodoh dan digunakan bagi berhadapan dengan kebenaran yang indah? Bukankah ia juga perkataan yang digunakan oleh si penjahat bagi membangkitkan keraguan dan syak wasangka di sisi seorang yang beriman lagi tenang? Lojik yang digunakan adalah sama. Ia berulang ketika bertembung di antara kebenaran dan kebatilan, iman dan kufur, kebaikan dan keburukan, di sepanjang zaman dan di setiap tempat. Kisah ini sentiasa berulang dari semasa ke semasa. (Fi Zilal al-Qur'an, 5/3078)
Oleh itu para da`i hendaklah sentiasa berwaspada daripada menyerupai golongan kafir, iaitu dengan mengadakan alasan bahawa fitnah yang digembar-gemburkan bertujuan untuk membaiki, bahawa mereka keluar daripada jamaah demi melakukan pembetulan, bahawa bisikan yang dilakukan di kalangan mereka bertujuan untuk berbincang, bahawa umpatan yang dilakukan bertujuan untuk mewujudkan suasana dialog, bahawa percanggahan dengan pemimpin beralasan bahawa kebenaran bukannya satu, bahawa ketidak tegasan dengan hujjah untuk mendapatkan sokongan, bahawa tidak taat kepada dakwah kerana sikap mempermudah-mudahkan, bahawa mengkritik golongan yang mempunyai kebaikan dengan alasan subjektif, bahawa meninggalkan dasar-dasar syarak dengan hujjah maslahah, bahawa menaikkan golongan lemah kepada saf pimpinan berhujjahkan keperluan dan mendedahkan kekuatan dengan hujjah keanjalan.
Tetapi kerosakan adalah tetap kerosakan, tidak boleh diubah oleh ibarat dan lafaz yang digunakan untuk menggambarkannya. Tetap teguh di atas manhaj adalah lebih utama daripada mendapat sokongan yang cepat. Kesatuan jamaah adalah lebih utama daripada mendapat sokongan di dalam satu-satu situasi. Kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu.
Perkara-perkara seperti ini pernah berlaku kepada golongan munafiqin. Di antara sebab yang menjadikan mereka murtad ialah bukan kerana mereka tidak bersetuju tentang sesuatu yang mempunyai nilai pada neraca langit. Diriwayatkan bahawa sebab kemurtadan sesetengah golongan munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w iaah apabila mereka mereka mendapati bahawa Rasulullah s.a.w memberikan keutamaan kepada Usamah bin Zaid r.a., seorang hamba hitam. Terdapat di dalam hadis sahih yang mempunyai periwayat yang thiqah, bahawa Rasulullah s.a.w melambatkan tawaf ifadhah ketika datang dari Arafah, kerana baginda menunggu Usamah. Seketika kemudian, datang Usamah, seorang hamba yang berkulit hitam legam, lalu penduduk Yaman berkata: "Adakah ini orang yang kita tunggu??" Oleh kerana itu mereka murtad -iaitu pada zaman riddah-. (Al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, 2/20, Tabaqat Ibn Sa`d, 4/262)
Orang-orang yang membawa fitnah ini sentiasa cuba untuk mencari kegelinciran-kegelinciran dengan meletakkannya di bawah kanta pembesar, bahkan kadang-kadang diletakkan di bawah mikroskop elektronik. Ini dilakukan untuk memenangkan golongan mereka dengan niat yang tidak baik atau untuk mewujudkan alasan terhadap tindakan mereka. Lalu segala siaran-siaran yang dikeluarkan oleh jamaah dianalisa seolah-olah ia adalah nas-nas.
Jika ahli fitnah menganalisa nas-nas al-Quran dan hadis sebagaimana mereka menganalisa siaran-siaran jamaah itu nescaya mereka akan mendapat ilmu yang banyak. Mereka menjadikan keterangan-keterangan yang dikemukakan sebagai bahan untuk dijadikan pemeriksaan dan analisa. Kemudian mereka melemparkan berbagai tuduhan kepada para da`i yang mempunyai kelebihan. Kita ambil contoh apa yang berlaku di dalam sejarah. Ketika ramai para ulama ditimpa mehnah kerana mereka tidak menyahut kehendak al-Makmun dalam masalah 'al-Quran baharu (makhluk)', al-Makmun cuba melemparkan tuduhan yang terperinci bagi setiap ulama, supaya orang ramai turut mencela mereka. Al-Makmun berkata kepada orang-orangnya yang diutuskan kepada rakyat:
"... Manakala Ali bin Muqatil, maka katakanlah kepadanya: "Bukankah engkau adalah pembunuh kepada amir al-mukminin? Engkau juga menghalal dan mengharamkan sesuka hati. ... Manakala al-Zayyal bin al-Haitham, maka beritahulah kepadanya bahawa dia tenggelam di dalam makanan yang dicurinya di al-Anbar. Manakala Ahmad bin Yazid yang terkenal dengan nama Abu al-`Awwam, maka beritahulah kepadanya bahawa dia adalah seorang budak yang tidak pandai menjawab soalan tentang al-Quran... Manakala al-Fudhail bin Ghanim, maka beritahulah kepadanya bahawa amir al-mukminin mengetahui tentang apa yang dilakukan olehnya di `Asr dan tentang harta kekayaan yang diperolehinya dalam masa tidak sampai setahun. Manakala tentang seorang yang dikenali dengan nama Abu Nasr al-Tammar, maka beritahu kepadanya bahawa amir al-mukminin membandingkan kehinaan akalnya dengan kehinaan kedai perniagaannya... Manakala Muhammad bin Hatim dan Ibnu Nuh yang dikenali sebagai Abu Ma`mar, maka beritahu kepada mereka bahawa mereka hanya sibuk memakan riba daripada mewakafkan diri untuk bertauhid kepada Allah... Manakala tentang seorang yang dikenali dengan sejadahnya, yang mengingkari bahawa dia pernah menuntut daripada ahli hadis dan ahli fikah yang mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk, maka beritahu kepadanya bahawa dia hanya sibuk dengan bilangan biji-biji tamar dan sibuk dengan membaiki sejadahnya yang koyak... Manakala tentang al-Qawariri, maka keadaan dan penerimaannya rasuah mendedahkan tentang mazhab, keburukan jalan dan kerendahan akal dan agamanya..." (Tarikh al-Tabari, 3/1225, cetakan al-Husayniyyah)
Di antara ciri-ciri dan akhlak ahli fitnah ialah mereka amat suka mengaib dan mencela orang lain. Ini adalah kerana dakwaan ahli fitnah dan perpecahan yang dilakukan pasti bercampur dengan sedikit perkara kebenaran, tetapi perkara kebatilan adalah majoriti. Dakwaan mereka juga dipenuhi dengan cerita-cerita dusta dan penipuan, di samping ia terlalu melampau pada membuka keaiban orang. Ketika pertikaman lidah bertambah sengit, setiap puak akan berusaha untuk mengukuhkan pandangannya dengan menambah-nambah atau mengurangkan hakikat yang sebenar. Lalu segala kelakuan atau situasi tidak lagi ditakwilkan dengan takwilan yang baik.
Segala perkataan atau kata-kata orang lain tidak dimengertikan sebagaimana sepatutnya, sehingga bisikan dianggap sebagai konspirasi, senyuman sebagai jelingan prasangka, dan sekadar komentar sebagai teori yang dipertahankan. Orang yang jernih hatinya dituduh sebagai seorang yang endah tak endah, seorang yang alim dituduh takabbur, seorang yang bertaqwa dituduh negatif, seorang yang kuat ibadat dituduh suka menyusah-nyusahkan diri dan seorang pejuang (mujahid) dituduh tidak berdisiplin.
Ukhuwwah pula disifatkan sebagai berpihak dan penghormatan disifatkan sebagai nifaq (bermuka-muka). Bahkan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh ahli fitnah terhadap seseorang ketua, kebiasaannya akan bertukar kepada ketua yang dipilih dan dilantik oleh mereka sendiri.
Inilah fenomena yang dapat disaksikan dan pernah berlaku ketika fitnah pertama yang melanda ummat Islam, ketika berlaku perselisihan terhadap pimpinan Uthman bin Affan r.a. Diriwayatkan oleh al-Tabarani, beliau pernah menyebutkan tentang ciri-ciri ahli fitnah dengan kata beliau: "Sesungguhnya penyakit umat dan nikmat ini ialah kerana kedapatan golongan yang suka mengaib dan mencela. Mereka memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu suka, tetapi mereka memendamkan apa yang kamu benci. Mereka akan mengatakan kepada kamu apa sahaja yang mereka suka.Mereka ibarat burung unta. Akan menurut siapa sahaja yang memanggil. Mereka amat suka mengambil sumber daripada jauh (fitnah). Mereka minum dengan gelojoh. Mereka tidak mendatangi melainkan kolam air yang keruh. Mereka tidak mempunyai orang yang memandu mereka. Mereka kepenatan dan hasil usaha mereka menjadi sia-sia..."
Demi Allah, kata-kata ini amat benar. Seolah-olah ia adalah gambaran yang diberikan oleh seorang wartawan tentang situasi masa kini. Alangkah ganjil, kenapa ahli-ahli fitnah suka untuk mengambil daripada sumber-sumber yang jauh. Mereka hanya meminum daripada kolam yang airnya keruh. Jadi mereka tidak berbicara melainkan tentang rahsia-rahsia jamaah dan kekurangan-kekurangan peribadi. Mereka juga tidak mempunyai pemimpin, kerana sebaik sahaja mereka melantik seorang ketua, mereka akan menggantikannya dengan orang lain. Begitu juga mereka sentiasa disibukkan dengan berbagai perkara lalu menjadikan mereka tidak dapat melakukan sesuatu yang produktif. Fitnah itu akhirnya akan terkena kepada sesama mereka. Selepas itu jamaah keluar daripada fitnah tersebut dalam keadaan selamat sejahtera sekalipun mungkin ditimpa sedikit kesakitan dan kelukaan.
Satu fenomena lagi didapati berlaku di medan dakwah. Ia berulang kali berlaku sepanjang sejarah amal Islami, iaitu perhimpunan ahli fitnah biasanya berlaku dengan cepat. Semua golongan yang bersengketa akan bertemu. Semua golongan yang tidak sehaluan akan bersatu untuk menentang jamaah atau mengganggu kepimpinan qiadah jamaah Islam. Di situ semua yang memiliki fikrah yang berbagai-bagai dan keinginan yang berlainan bertemu. Mereka dihimpunkan dan dinaungi oleh bendera atau panji fitnah dan perpecahan.
Apabila sahaja fitnah berakhir, mereka sesama mereka pula yang akan berpecah belah. Akan berlaku caci mencaci dan saling tuduh menuduh sehingga para da`i yang benar akan meyakini bahawa ini adalah satu kaedah yang tetap, berlaku pada setiap fitnah yang melanda. Pengalaman dan penyaksian terhadap realiti yang benar-benar berlaku menambahkan keyakinan ini.
Bahkan kaedah ini adalah lebih umum kerana ia berlaku kepada setiap ahli maksiat, kerana Allah meletakkan perasaan permusuhan dan kemarahan di antara mereka. Setiap majlis meminum arak sudah pasti akan diakhiri dengan irihati dan dengki mendengki. Setiap perhimpunan yang dipenuhi dengan pendustaan, sudah pasti akan berakhir dengan kemarahan. Setiap perhimpunan yang dipenuhi dengan kekejian sudah pasti akan berakhir dengan persengketaan. Setiap persepakatan untuk melakukan kemungkaran sudah pasti akan berakhir dengan pergaduhan. Manakala kasih sayang dan pertautan hati merupakan ciri-ciri ahli kebaikan... Terhimpun pada semua maksiat dua sifat berikut: Permusuhan dan kemarahan, serta penghalangan daripada mengingati Allah dan juga solat. Manakala sifat berkasih sayang dan pertautan hati hanya berlaku dengan iman dan amal salih. Ini sebagaimana difirmankan oleh Allah swt:
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang." (Maryam: 96)
Iaitu Allah akan mencampakkan perasaan kasih sayang di antara mereka lalu sebahagian daripada mereka akan mengasihi sebahagian yang lain. Mereka berkasih sayang dan hati mereka bertaut lantaran perasaan kasih sayang yang di campakkan oleh Allah swt ke dalam hati mereka...
Manakala ahli maksiat dan kefasiqan, sekalipun kadang-kadang nampaknya ada kasih sayang di antara mereka, tetapi tidak lama kemudian sudah pasti ia akan bertukar menjadi permusuhan dan kemarahan. Keadaan tersebut sudah berlaku di dunia lagi sebelum di akhirat, manakala di akhirat, Allah berfirman:
Maksudnya: "Teman-teman rapat pada hari itu, sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." (A-Zukhruf: 67)
Oleh kerana itu, adalah diperhatikan bahawa ahli-ahli fitnah ini selepas mereka bersatu, mereka pasti akan berselisih. Panah tuduhan pasti akan mengenai ketua pembawa fitnah atau perpecahan. Dia akan dituduh sebagai seorang yang mengkhianati prinsip. Berkemungkinan dia juga akan dituduh sebagai seorang pencuri, cuai, bermuka-muka, bahkan kadang-kadang dituduh kafir pada sesetengah keadaan.
Apa yang berlaku kepada ahli fitnah, berlaku juga kepada kaum munafiqin dan musyrikin, bahkan nas-nas syarak lebih menegaskannya lagi kepada mereka. Allah swt menyebutkan tentang perkara ini supaya orang-orang yang beriman berhati-hati daripada menyerupai mereka. Mereka yang terlibat dengan fitnah ini sudah pasti akan membersihkan diri mereka atau tidak mengaku bahawa mereka terlibat dengannya dan dengan para pemimpin mereka. Ini adalah sebagaimana yang berlaku kepada kaum musyrikin di mana mereka pasti akan berlepas diri dan tidak mengaku terlibat dengan kesyirikan yang mereka lakukan ketika mereka melihat kebenaran dengan mata kepala mereka sendiri. Begitu juga kepada kaum munafiqin di mana mereka pasti akan berlepas tangan daripada kawan-kawan mereka dan jamaah mereka. Begitu juga yang berlaku kepada ahli fitnah. Ini adalah sebagai membuktikan kebenaran firman Allah dan sebagai perlaksanaan kepada kehendak-Nya. Firman Allah:
Maksudnya: "Kemudian tiadalah fitnah mereka selain mereka menjawab: "Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)." (Al-An`am: 23)
Abu Ishaq al-Zajjaj berkata:
"Pentakwilan ayat ini amat menarik. Allah swt memberitahu tentang kisah-kisah orang musyrikin dan bagaimana mereka terfitnah dengan kesyirikan mereka. Kemudian Dia memberitahu bahawa ketika mereka melihat kebenaran, mereka pasti akan menafikan bahawa mereka terlibat dengannya. Bandingan tentang perkara ini ialah sebagaimana yang terdapat di dalam masalah bahasa, bahawa anda melihat seseorang yang suka kepada seorang yang penyeru kesesatan, tetapi apabila penyeru itu terjatuh ke dalam sesuatu kebinasaan, dia akan berlepas diri daripadanya. Lalu dikatakan kepada orang seperti ini: "Kesukaan engkau kepadanya hanyalah untuk engkau berlepas diri daripadanya." Al-Hasan berkata: "Ini adalah khusus buat kaum munafiqin. Inilah adat mereka semasa berada di dunia. Maksud 'fitnah mereka' ialah akibat atau natijah daripada fitnah yang mereka lakukan." (Tafsir al-Qurtubi, 6/402)
Akhirnya dalam permasalahan ini disebutkan apa yang berlaku kepada para pembunuh Sayyidina Uthman r.a., di mana telah dicurahkan perasaan permusuhan, kemarahan dan keliaran di antara sesama mereka, sedangkan sebelum itu mereka sentiasa berhubungan. Kemudian mereka berpecah belah kepada beberapa puak sebagai balasan hasil perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Mereka telah dihapuskan oleh Khalid bin al-Walid dengan pukulan-pukulan pedang sebagai lanjutan daripada pedang ayahnya. Hakikat ini telah disedari oleh penyair Rasulullah s.a.w, lalu beliau berkata ketika menangisi pemergian Khalifah Uthman yang syahid, sebagaimana dinukilkan oleh Mujalid daripada al-Sha`biyy, beliau berkata: "Aku tidak pernah mendengar syair yang diucapkan tentang pemergian Sayyidina Uthman yang terlebih baik daripada syair yang diucapkan oleh Ka`ab bin Malik:
Maksudnya:
Lalu beliau (Uthman) menahan tangan dan menutup pintunya,
dan dia yakin bahawa Allah tidak lalai.
Beliau berkata kepada penduduk rumahnya, janganlah kamu membunuh mereka,
semoga Allah memaafkan kepada setiap yang tidak menghunuskan senjatanya.
Bagaimana anda melihat bahawa Allah mencurahkan ke atas mereka,
perasaan kemarahan selepas mereka berkasih sayang.
Bagaimana anda melihat selepas kematiannya orang lain berpaling,
daripada semua manusia sebagaimana kumpulan burung-burung unta.
Ali bin Abi Talib k.w. telah menyedari tentang pengertian ini. Beliau pernah menyifatkan fenomena ini dengan terus terang. Beliau berkata tentang salah seorang ahli fitnah, bahawa dia seorang yang tidak dikenali di dalam jamaah. Semasa dijalankan kerja-kerja yang serius, dia tidak kelihatan. Tetapi dia hanya dikenali ketika berlaku fitnah. Lidahnya keras mengkritik. Dia amat mahir menjatuhkan maruah orang. Al-Haithami meriwayatkan kata-kata seorang ahli fitnah kepada Ali bin Abi Talib di dalam Majma` al-Zawa'id, daripada al-Tabarani: "Sesungguhnya engkau -demi Allah- tidak pernah menegah kami. Bahkan engkau menyuruh dan menghasut kami. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang engkau tidak suka, engkau melepaskan dirimu dan mengatakan bahawa engkau tidak bersalah, bahkan engkau mempersalahkan kami terhadap dosa yang engkau lakukan." Lalu Ali bin Abi Talib r.a berkata: "Celaka engkau. Demi Allah, dahulunya ketika muslimin bersatu padu, engkau bukanlah seorang yang dikenali. Tetapi apabila berlaku fitnah ini, engkau tiba-tiba muncul terserlah sebagaimana terserlahnya tanduk kambing..." (Sair A`lam al-Nubala', karangan al-Zahabi, 1/120)
Di sini Ali melihat kemunculan ahli fitnah adalah sebagaimana kemunculan tanduk kambing di dalam kumpulan kambingnya. Gambaran yang diberikan ini amat tepat. Ia juga disaksikan dan dikuatkan oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku dan fitnah-fitnah yang berleluasa. Berapa ramai orang yang tidak terkenal tiba-tiba namanya menjadi masyhur ketika berlaku fitnah. Berapa ramai orang yang tidak dikenali tiba-tiba tulisannya muncul di tengah-tengah fitnah yang berlaku.
Pada ketika itu orang yang jahil bercakap seolah-olah dia adalah seorang yang alim. Ahli biasa pula berbicara seolah-olah dia adalah pemimpin tertinggi. Orang yang terpedaya pula berurusan seolah-olah dia adalah syaikh (guru) kepada golongan bertaqwa. Manakala orang yang bodoh pula bercakap seolah-olah dia adalah ulama yang paling utama. Demikianlah, para penyeru fitnah dan perpecahan sentiasa diketuai oleh seorang yang jahil dan bodoh.
Ahli fitnah biasanya bergerak cergas, tidak lembab. Ini adalah satu fenomena yang menarik perhatian, sehingga orang-orang yang baik dan jujur akan tertipu dengan mereka, yang menyangka bahawa mereka adalah pembawa kebaikan. Apa yang mereka lakukan ditakwilkan bahawa mereka bertujuan baik. Lalu saf jamaah menjadi bertambah serabut dan perselisihan bertambah besar. Realiti yang berlaku turut memperakui fenomena ini dan lembaran-lembaran sejarah memperkukuhkannya.
Tiada yang pelik tentang perkara ini, kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah menyifatkan ahli bid`ah daripada kalangan Khawarij bahawa sembahyang dan puasa mereka lebih baik daripada sembahyang dan puasa para sahabat, tetapi mereka keluar daripada agama sebagaimana anak panah keluar daripada badan binatang yang menjadi mangsa panahan. Daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: "Akan keluar di dalam ummat ini -baginda tidak mengatakan daripada ummat ini- satu kaum (golongan) yang kamu akan merasa bahawa sembahyang kamu adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sembahyang kamu. Mereka membaca al-Qur'an tetapi bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka. Mereka keluar daripada agama, sebagaimana anak panah keluar daripada badan binatang yang menjadi mangsa panahan. Hendaklah orang yang memanah (atau yang membawa fitnah) itu melihat kepada anak panahnya, yang menyebabkan dia berlebihan di dalam fitnahnya, adakah anak panahnya itu dilekati oleh darah, walaupun sedikit?" (Riwayat al-Bukhari)
Ini adalah perkataan yang jelas tentang bahaya besar yang dibawa oleh golongan Khawarij ketika berlaku sebarang fitnah. Mereka adalah contoh yang paling tepat dan jelas tentang keluarnya mereka daripada agama. Oleh kerana itu, sebahagian ulama telah meletakkan hadis-hadis berkenaan dengan Khawarij di bawah bab 'Golongan Khawarij dan mereka yang seumpamanya'. Ini menunjukkan bahawa fenomena ini adalah berlaku berulang-ulang kali dengan kadar dan nisbah yang berbeza-beza. Di antara ciri-ciri mereka yang paling ketara ialah kekuatan dan kekerasan, semangat dan perkataan yang dalam, ibadat dan keberanian, di samping keganjilan amalan yang dilakukan, menghalalkan darah muslim cepat menuduh saudara seagama dan tidak berlapang dada untuk bermesyuarat dan berdialog. Sesiapa yang memerhatikan keadaan ahli fitnah sekarang, tidak akan menjumpai perbezaan yang banyak dengan gambaran berikut yang menggambarkan tentang golongan Khawarij:
Khawarij merupakan salah satu firqah Islam yang mempunyai hati yang paling keras, pendirian yang paling teguh, lidah yang paling pintar berkata, ibadat yang paling menakjubkan dan amalan-amalan yang amat ganjil. Ia juga amat cepat menuduh saudara seagama dan tidak mempunyai kelapangan dada sesama Islam. Ini menyebabkan kaum muslimin ditimpa dengan berbagai kejahatan yang memanjang dengan sebab mereka..." (Uthman bin Affan, karangan Sadiq `Urjun, 34)
Di sana terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa mereka amat kuat beribadat sehingga tangan mereka menjadi kasar dan pada dahi mereka terdapat kesan hitam kerana banyak melakukan solat. Ketika sembahyang mereka mengeluarkan suara seakan-akan dengungan lebah. Sejarah telah menunjukkan bahawa mereka amat kuat berusaha, bersemangat, berani dan cergas. Ini menjadikan orang ramai tertipu dengan menganggap bahawa mereka adalah golongan yang berada di atas kebenaran dan kebaikan. Perkara ini telah menyebabkan para ulama memberikan perhatian kepada fenomena, bahawa orang yang menurut hawa nafsunya akan bergiat cergas bagi memenuhi tuntutan hawa nafsunya, manakala ahli bid`ah juga akan bersemangat mempertahankan bid`ahnya kerana mahu mendapat hasil segera atau merealisasikan faedah yang dinanti-nantikan. Bahkan sebahagian golongan fasiq dan penurut hawa nafsu, begitu juga golongan kufur dan nifaq, sanggup menggadaikan nyawa mereka sendiri untuk tujuan tersebut, kerana naluri kebinatangan mengajak mereka untuk menuntut ketinggian, atau untuk menjadi ketua, mendapat pangkat dan tempat. Oleh kerana itu, dia akan cergas untuk tujuan tersebut dan sanggup menggadaikan jiwa raga dan mengorbankan harta benda demi mencapai maksudnya. Para mufassirin mendapati pengertian ini di dalam dua ayat pada surah al-Baqarah:
Maksudnya: "Di antara manusia ada orang yang ucapannya mengenai hal kehidupan dunia menarik hatimu (mendengarnya) dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia berpaling (meninggalkanmu) dia berjalan di muka bumi untuk melakukan kerosakan padanya dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia), sedang Allah tidak suka bencana kerosakan." (Al-Baqarah: 204-205)
Lihatlah kepada perkataan 'berusaha'. Perkataan ini memberikan makna perjalanan yang cepat dan kecergasan yang berterusan. Berusaha di atas bumi ialah berjalan dengan cepat. Perkataan ini digunakan bagi menunjukkan bahawa fitnah itu dilakukan dengan penuh usaha dan melaga-lagakan di antara manusia. Wallahu a`lam. (Tafsir al-Qurtubi, 3/67)
Sekalipun sifat di atas adalah khusus untuk kaum munafiqin, namun menurut kaedah keumuman ia mengcakupi seluruh kerosakan yang dilakukan. Bahkan segala kerosakan lain adalah lebih utama dimaksudkan oleh ayat ini kerana kedudukan hatinya yang masih mempunyai sifat keimanan dan alasan yang diberikan adalah untuk melakukan pembaikan. Ayat ini juga mengcakupi kerosakan yang diakibatkan oleh kufur dan nifaq, sebagaimana ia mengcakupi juga kerosakan yang diakibatkan oleh pendustaan dan pemudharatan. Ayat pertama menunjukkan bahawa di antara sifat mereka ialah bahawa mereka merasa kagum dengan diri mereka dan dengan kata-kata mereka sendiri. Sekumpulan ulama yang di antara mereka terdiri daripada tabi`in yang dihormati, seperti Qatadah dan Mujahid, berkata:
"...Ayat ini diturunkan kepada setiap orang yang menyembunyikan kekufuran dan nifaq, atau pendustaan dan pemudharatan, sedang dia menzahirkan keadaan sebaliknya dengan lidahnya. Ayat ini menyerupai apa yang tersebut di dalam al-Tarmizi, bahawa tersebut pada sebahagian kitab Allah: Sesungguhnya di kalangan hamba Allah ada satu golongan yang mempunyai lidah yang lebih manis daripada madu, tetapi hati mereka lebih pahit daripada jadam. Ketika berhadapan dengan orang ramai pakaian mereka adalah ibarat bulu bebiri lantaran kelembutannya. Mereka membeli dunia dengan menjual agama mereka. Allah swt berfirman: "Adakah denganKu mereka tertipu? Adakah ke atasKu mereka memberanikan diri? Aku bersumpah dengan namaKu, bahawa aku pasti akan mendatangkan fitnah kepada mereka, yang menjadikan orang yang paling baik di kalangan mereka menjadi bingung..." (Tafsir al-Qurtubi, 3/15)
Diperhatikan daripada penafsiran di atas, bahawa ayat tersebut adalah umum, mencakupi kufur dan nifaq, sebagaimana ia mencakupi pendustaan dan pemudharatan. Ia adalah fitnah di mana para pendokongnya memiliki lidah yang lebih manis daripada madu dan berpakaian kulit yang amat lembut, tetapi pada hakikatnya mereka adalah ahli kepada perpecahan dan kemudharatan.