Wednesday, November 11, 2009

Fenomena Fitnah Dalam Harakah Islamiah : Siri III


Bisikan... Permulaan Fitnah

Sesungguhnya ciri fitnah yang pertama ialah ia tidak kelihatan oleh mata secara sekaligus. Tetapi ianya hanya tersembunyi dan bermula secara bisikan di antara dua atau tiga orang. Kemudian ia melebar dengan berlalunya hari-hari. Problem ini menjadi bertambah besar kerana kekurangan kerja dakwah yang dilakukan. Kurang perhatian dan ketegasan daripada qiadah juga menjadi sebab ia menjadi bertambah subur.

Pada peringkat permulaan, masalah ini menjengukkan mukanya dalam keadaan malu-malu dan bersembunyi dalam keadaan ketakutan. Kerana berterus terang adalah hasil keberanian, sedangkan fitnah dan berbisikan adalah fenomena kelemahan dan keraguan. Allah swt telah melarang daripada berbisikan. Kebanyakan para mufassirin menyatakan bahawa sebab kenapa Allah melarang daripada melakukan perkara ini kerana ia boleh menyebabkan orang lain berdukacita. Ini adalah benar, lebih-lebih lagi ketika ummat Islam hidup dalam keadaan kemewahan dan ketenangan. Sebab kenapa berbisikan adalah dilarang kerana realiti telah menunjukkan berbisikan merupakan permulaan kepada fitnah dan pembentukan klik-klik. Umar bin Abdul Aziz telah menyedari tentang perkara ini, lantas beliau berkata, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Auza`iyy:Umar bin Abdul Aziz berkata: "Jika anda melihat satu kumpulan berbisik-bisik di antara mereka tentang suatu urusan agama mereka tanpa dilibatkan orang lain, maka ketahuilah bahawa mereka sedang mengasaskan kesesatan." (Sirah Umar bin Abdul Aziz, karangan Ibnu al-Jauzi, 103)

Demikianlah akhirnya, bermula dialog-dialog pinggiran, perbahasan-perbahasan individu, jauh dari suasana kerja yang boleh mendatangkan hasil, serta jauh dari kawalan qiadah jamaah. Dengan ini kejahatan bermula dan fitnah melebar. Oleh kerana itu, ada orang membandingkan fitnah ini dengan api besar membakar yang hanya bermula daripada percikan-percikan api yang kecil sahaja. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Nasr bin Sayyar “Aku melihat di bawah pasir cahaya bara api, yang hampir mengeluarkan api membakar. Sesungguhnya api dapat dinyalakan dengan dua batang kayu, dan sesungguhnya kejahatan hanya bermula daripada lidah. (Al-Aghani)
Nasr -seorang pemimpin-, dengan kemampuan siasah dan kelayakan kepimpinannya, amat memahami dan mengetahui tentang perkara ini. Lalu perbandingan dan gambaran yang dilakukannya terhadap fitnah adalah tepat dan indah. Pada waktu yang lain, beliau menggunakan perbandingan yang lain. Beliau mengumpamakan fitnah seperti kandungan yang tidak kelihatan melainkan pada hari-hari terakhir hamil sahaja. Beliau memberi amaran daripada hanya menunggu dengan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap fitnah ini yang akan menyebabkan kesukaran untuk menangani permasalahan ini setelah ia merebak. Bait-bait syair beliau menggambarkan tentang perkara ini:
Apa yang kita sembunyikan tentang urusan kita,
adalah seperti lembu jantan ketika mendekati hari penyembelihannya.
Atau seperti perempuan yang disangka oleh keluarganya,
masih perawan sedangkan sudah hamil sembilan bulan.
Kita melihat kepadanya sudah carik,
dan carikannya sukar untuk ditampal.
Seperti sehelai baju yang amat buruk,
sudah tentu menyukarkan walaupun oleh tukang jahit yang mahir.
(Muruj al-zahab 3/358)

Akhirnya Ia Menjadi Seperti Perempuan Yang Huduh

Sekiranya beliau dapat memahami tentang fenomena-fenomena fitnah lantaran deria siasi atau deria sosial yang dimilikinya, tetapi apa yang difahami oleh para salaf adalah lebih jelas dan mendalam. Mereka selalu mengambil pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh manusia daripada syair-syair di zaman jahiliyyah sehingga seolah-olah ia menjadi satu kaedah yang berterusan. Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab sahihnya, dengan katanya: Ibnu `Uyainah berkata daripada Khalaf bin Haushab: Mereka suka untuk mendendangkan bait-bait ini ketika berlaku fitnah. Umru'ul Qais berkata:
Maksudnya:
Peperangan ketika ia pada peringkat permulaan,
berusaha menawan hati setiap yang jahil dengan segala perhiasannya.
Sehingga apabila api menyala dan kayu api dicucuh,
ia melarikan diri tanpa teman.
Mukanya hodoh, berubah warnanya,
tidak diingini untuk dicium dan dikucupi.

Tujuan mengungkapkan bait-bait syair ini adalah untuk mengembalikan kita kepada apa yang didengar dan disaksikan oleh mereka ketika berlaku fitnah. Dengan mengungkapkan bait syair ini, mengingatkan mereka agar tidak melibatkan diri dengan fitnah dan tidak tertipu dengan fenomenanya yang mempesonakan... (Fath al-Bari 13/10)
Fitnah diibaratkan sebagai perempuan tua yang hodoh, yang tidak diingini untuk dicium dan dikucup. Perumpamaan ini dilakukan adalah bagi menggambarkan keburukan fitnah. Bahkan terdapat beberapa nas syarak sendiri, melalui mimpi orang-orang salih, yang menggambarkan fitnah sebagai seorang perempuan yang mengerbang rambutnya. Ini adalah sebagai memberi amaran kepada orang mukmin daripada mendekatinya seterusnya tidak terpedaya dengan luarannya yang menarik atau permulaannya yang dijalankan dalam keadaan tersembunyi.

Memahami permulaan adalah sesuatu yang mesti dimiliki oleh seseorang pemimpin atau ketua. Sama ada melalui ilham yang merupakan natijah taqwa, atau kebijaksanaan yang dicernakan oleh pengalaman lalu, atau kebolehan semulajadi yang merupakan anugerah daripada Allah swt. Dengan kebolehan ini, seseorang itu boleh membezakan di antara kebenaran dan kebatilan melalui alunan perkataan yang diluahkan, keganjilan tingkah laku, perubahan perangai dan kelakuan. Ini menuntutnya agar mengambil sikap tegas serta tidak dipengaruhi oleh kelembutan tingkah laku, persahabatan yang panjang dan kemanisan perkataan. Kepentingan jamaah adalah lebih utama daripada untuk mengambil hati sesiapa. Kesatuan saf adalah lebih patut didahulukan daripada untuk mengekalkan individu tertentu. Semuanya tidak akan terlaksana melainkan dengan sikap berterus terang dan membelakangkan penyembunyian. Ia hendaklah dirawat dengan rawatan yang tidak mengakibatkan mata pisau menjadi sumbing atau menyebabkan ketergendalaan amal. Membuang bisul adalah lebih baik daripada memotong anggota badan. Memberikan ubatan adalah lebih utama daripada merawat penyakit. Menjaga burung-burung yang kecil di dalam sarangnya adalah lebih mudah daripada menangani api fitnah yang sudah merebak. Dengarkanlah di sini satu risalah yang menjelaskan tentang pengertian ini dengan gambaran yang mendalam, daripada Nasr bin Sayyar yang dihantarkan kepada Ibnu Hubairah:
Maksudnya:
Walaupun ia adalah anak burung yang berumur dua tahun namun tubuhnya adalah besar,
apabila ia telah cergas kakinya diselaputi bulu halus.
Jika ia terbang bulu-bulu halus itu tidak menyakitkannya,
tetapi ia boleh menyebabkan api merebak cepat.
(Tarikh al-Tabariyy, 6/38)

No comments:

Post a Comment