Sunday, January 17, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI V


Tersembunyi Kemudian Terserlah

Berkait rapat dengan ciri yang lalu, satu ciri lagi. Ciri yang kedua ini lahir dan selari dengan ciri yang pertama, iaitu fitnah akan tersibar dan meluas. Sebagaimana ia akan berpindah daripada kerahsiaan kepada kejelasan, daripada ketersembunyian kepada penonjolan, begitu juga ia akan berpindah daripada ruanglingkup yang sempit kepada ruanglingkup yang luas, daripada sudut yang terbatas kepada keluasan yang lebar dan daripada sempadan yang sempit kepada penyertaan menyeluruh.

Ia hanya dimulakan oleh beberapa individu sahaja, tetapi pada akhirnya, hanya beberapa orang juga yang terselamat daripadanya. Bahkan yang menjadi subjek dan fikrah fitnah pada permulaannya adalah kecil dan sedikit, tetapi didihan fitnah merebakkannya kepada berbagai-bagai fikrah, mempersoalkan keutamaan (aulawiyyat-prioriti) dan perkara-perkara thawabit.


Kemudian percikan kejahatannya terkena qiadah, pengikut, penyokong, masa sekarang, sejarah lalu, individu, keluarga, bandar dan kawasan. Yang sudah dikuburkan digali semula lalu terserlah apa yang disembunyikan. Apa yang hanya menjadi bahan percakapan lisan ditulis dan dibukukan. Segala rahsia pula dibongkar. Oleh kerana itu, adalah tidak pelik jika Rasulullah s.a.w membandingkan fitnah ini dengan tempat jatuhan hujan. Pada sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: "... Sesungguhnya aku melihat fitnah-fitnah berada di sekitar rumah kamu sebagaimana titisan embun."

Perbandingan yang dilakukan oleh baginda adalah tepat, di mana baginda mengumpamakan fitnah seperti air hujan (embun) untuk menunjukkan keumuman, kerana jika air hujan atau embun jatuh di atas satu bahagian kawasan tertentu, ia akan meresap ke seluruh kawasan itu. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah, baginda memberitahu bahawa fitnah itu berada di sekitar setiap rumah, agar muslimin sentiasa berwaspada, tidak melibatkan diri dengannya, dan memohon daripada Allah agar mengurniakan kepada mereka kesabaran dan keselamatan daripada kejahatan fitnah. (Al-Fath, 13/13)

Perumpaan fitnah dengan air hujan yang tidak memberikan manfaat mengisyaratkan kepada beberapa perkara dan boleh diilhamkan daripadanya beberapa pengertian. Fitnah yang berlaku melibatkan ramai orang daripada berbagai sudut, sebagaimana titisan air hujan juga mengena atau menimpa kebanyakan tempat. Begitu juga, kesan atau akibat fitnah juga berkekalan, sebagaimana kesan atau akibat yang ditinggalkan oleh hujan atau banjir yang memusnahkan. Fitnah memasuki rumah-rumah dan memusnahkan tirai, sebagaimana air hujan meresap ke dalam akar pepohon dan umbi rumput rumpai. Apabila air hujan sudah terlalu banyak, maka ia tidak lagi mendatangkan manfaat bahkan mendatangkan mudharat, maka begitu juga fitnah, selepas ia tersibar luas dan tidak mungkin lagi untuk dibendung.

Kadang-kadang fitnah bermula di kalangan orang-orang yang jahil atau berkepentingan, tetapi selepas ia tersibar luas, kadang-kadang orang yang alim dan bertaqwa turut terlibat. Ini kerana perkara kecil akan membawa kepada yang lebih besar, pertanyaan menyebabkan timbul jawapan, perbincangan biasa bertukar menjadi dialog, nasihat pula bertukar menjadi celaan, penyertaan individu akan membawa kepada penyertaan perkumpulan yang lebih besar.

Akhirnya, tidak kira orang alim atau jahil, orang baru atau lama, pemimpin atau ahli biasa, penurut hawa nafsu atau orang yang bertaqwa, akan terlibat sama di dalam sesuatu fitnah. Setelah itu, amat sukar untuk menimbus kembali lurah yang terbentuk dan mustahil untuk merawat suasana yang sedang tenat. Oleh itu saf menjadi pecah dan kepentingan (jamaah) diketepikan, ini jika kita mengandaikan tidak akan berlaku celaan peribadi dan pertumpahan darah.

No comments:

Post a Comment