Sunday, January 17, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI IX


Pengaib Dan Pencela, mereka ibarat BURUNG UNTA

Di antara ciri-ciri dan akhlak ahli fitnah ialah mereka amat suka mengaib dan mencela orang lain. Ini adalah kerana dakwaan ahli fitnah dan perpecahan yang dilakukan pasti bercampur dengan sedikit perkara kebenaran, tetapi perkara kebatilan adalah majoriti. Dakwaan mereka juga dipenuhi dengan cerita-cerita dusta dan penipuan, di samping ia terlalu melampau pada membuka keaiban orang. Ketika pertikaman lidah bertambah sengit, setiap puak akan berusaha untuk mengukuhkan pandangannya dengan menambah-nambah atau mengurangkan hakikat yang sebenar. Lalu segala kelakuan atau situasi tidak lagi ditakwilkan dengan takwilan yang baik.

Segala perkataan atau kata-kata orang lain tidak dimengertikan sebagaimana sepatutnya, sehingga bisikan dianggap sebagai konspirasi, senyuman sebagai jelingan prasangka, dan sekadar komentar sebagai teori yang dipertahankan. Orang yang jernih hatinya dituduh sebagai seorang yang endah tak endah, seorang yang alim dituduh takabbur, seorang yang bertaqwa dituduh negatif, seorang yang kuat ibadat dituduh suka menyusah-nyusahkan diri dan seorang pejuang (mujahid) dituduh tidak berdisiplin.

Ukhuwwah pula disifatkan sebagai berpihak dan penghormatan disifatkan sebagai nifaq (bermuka-muka). Bahkan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh ahli fitnah terhadap seseorang ketua, kebiasaannya akan bertukar kepada ketua yang dipilih dan dilantik oleh mereka sendiri.

Inilah fenomena yang dapat disaksikan dan pernah berlaku ketika fitnah pertama yang melanda ummat Islam, ketika berlaku perselisihan terhadap pimpinan Uthman bin Affan r.a. Diriwayatkan oleh al-Tabarani, beliau pernah menyebutkan tentang ciri-ciri ahli fitnah dengan kata beliau: "Sesungguhnya penyakit umat dan nikmat ini ialah kerana kedapatan golongan yang suka mengaib dan mencela. Mereka memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu suka, tetapi mereka memendamkan apa yang kamu benci. Mereka akan mengatakan kepada kamu apa sahaja yang mereka suka. Mereka ibarat burung unta. Akan menurut siapa sahaja yang memanggil. Mereka amat suka mengambil sumber daripada jauh (fitnah). Mereka minum dengan gelojoh. Mereka tidak mendatangi melainkan kolam air yang keruh. Mereka tidak mempunyai orang yang memandu mereka. Mereka kepenatan dan hasil usaha mereka menjadi sia-sia..."

Demi Allah, kata-kata ini amat benar. Seolah-olah ia adalah gambaran yang diberikan oleh seorang wartawan tentang situasi masa kini. Alangkah ganjil, kenapa ahli-ahli fitnah suka untuk mengambil daripada sumber-sumber yang jauh. Mereka hanya meminum daripada kolam yang airnya keruh. Jadi mereka tidak berbicara melainkan tentang rahsia-rahsia jamaah dan kekurangan-kekurangan peribadi. Mereka juga tidak mempunyai pemimpin, kerana sebaik sahaja mereka melantik seorang ketua, mereka akan menggantikannya dengan orang lain. Begitu juga mereka sentiasa disibukkan dengan berbagai perkara lalu menjadikan mereka tidak dapat melakukan sesuatu yang produktif. Fitnah itu akhirnya akan terkena kepada sesama mereka. Selepas itu jamaah keluar daripada fitnah tersebut dalam keadaan selamat sejahtera sekalipun mungkin ditimpa sedikit kesakitan dan kelukaan.

No comments:

Post a Comment