Sunday, January 17, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI VI


Semangat Ahli Fitnah

Ahli fitnah biasanya bergerak cergas, tidak lembab. Ini adalah satu fenomena yang menarik perhatian, sehingga orang-orang yang baik dan jujur akan tertipu dengan mereka, yang menyangka bahawa mereka adalah pembawa kebaikan. Apa yang mereka lakukan ditakwilkan bahawa mereka bertujuan baik. Lalu saf jamaah menjadi bertambah serabut dan perselisihan bertambah besar. Realiti yang berlaku turut memperakui fenomena ini dan lembaran-lembaran sejarah memperkukuhkannya.

Tiada yang pelik tentang perkara ini, kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah menyifatkan ahli bid`ah daripada kalangan Khawarij bahawa sembahyang dan puasa mereka lebih baik daripada sembahyang dan puasa para sahabat, tetapi mereka keluar daripada agama sebagaimana anak panah keluar daripada badan binatang yang menjadi mangsa panahan. Daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: "Akan keluar di dalam ummat ini -baginda tidak mengatakan daripada ummat ini- satu kaum (golongan) yang kamu akan merasa bahawa sembahyang kamu adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sembahyang kamu. Mereka membaca al-Qur'an tetapi bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka. Mereka keluar daripada agama, sebagaimana anak panah keluar daripada badan binatang yang menjadi mangsa panahan. Hendaklah orang yang memanah (atau yang membawa fitnah) itu melihat kepada anak panahnya, yang menyebabkan dia berlebihan di dalam fitnahnya, adakah anak panahnya itu dilekati oleh darah, walaupun sedikit?" (Riwayat al-Bukhari)

Ini adalah perkataan yang jelas tentang bahaya besar yang dibawa oleh golongan Khawarij ketika berlaku sebarang fitnah. Mereka adalah contoh yang paling tepat dan jelas tentang keluarnya mereka daripada agama. Oleh kerana itu, sebahagian ulama telah meletakkan hadis-hadis berkenaan dengan Khawarij di bawah bab 'Golongan Khawarij dan mereka yang seumpamanya'. Ini menunjukkan bahawa fenomena ini adalah berlaku berulang-ulang kali dengan kadar dan nisbah yang berbeza-beza. Di antara ciri-ciri mereka yang paling ketara ialah kekuatan dan kekerasan, semangat dan perkataan yang dalam, ibadat dan keberanian, di samping keganjilan amalan yang dilakukan, menghalalkan darah muslim cepat menuduh saudara seagama dan tidak berlapang dada untuk bermesyuarat dan berdialog. Sesiapa yang memerhatikan keadaan ahli fitnah sekarang, tidak akan menjumpai perbezaan yang banyak dengan gambaran berikut yang menggambarkan tentang golongan Khawarij:

Khawarij merupakan salah satu firqah Islam yang mempunyai hati yang paling keras, pendirian yang paling teguh, lidah yang paling pintar berkata, ibadat yang paling menakjubkan dan amalan-amalan yang amat ganjil. Ia juga amat cepat menuduh saudara seagama dan tidak mempunyai kelapangan dada sesama Islam. Ini menyebabkan kaum muslimin ditimpa dengan berbagai kejahatan yang memanjang dengan sebab mereka..." (Uthman bin Affan, karangan Sadiq `Urjun, 34)

Di sana terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa mereka amat kuat beribadat sehingga tangan mereka menjadi kasar dan pada dahi mereka terdapat kesan hitam kerana banyak melakukan solat. Ketika sembahyang mereka mengeluarkan suara seakan-akan dengungan lebah. Sejarah telah menunjukkan bahawa mereka amat kuat berusaha, bersemangat, berani dan cergas. Ini menjadikan orang ramai tertipu dengan menganggap bahawa mereka adalah golongan yang berada di atas kebenaran dan kebaikan. Perkara ini telah menyebabkan para ulama memberikan perhatian kepada fenomena, bahawa orang yang menurut hawa nafsunya akan bergiat cergas bagi memenuhi tuntutan hawa nafsunya, manakala ahli bid`ah juga akan bersemangat mempertahankan bid`ahnya kerana mahu mendapat hasil segera atau merealisasikan faedah yang dinanti-nantikan. Bahkan sebahagian golongan fasiq dan penurut hawa nafsu, begitu juga golongan kufur dan nifaq, sanggup menggadaikan nyawa mereka sendiri untuk tujuan tersebut, kerana naluri kebinatangan mengajak mereka untuk menuntut ketinggian, atau untuk menjadi ketua, mendapat pangkat dan tempat. Oleh kerana itu, dia akan cergas untuk tujuan tersebut dan sanggup menggadaikan jiwa raga dan mengorbankan harta benda demi mencapai maksudnya. Para mufassirin mendapati pengertian ini di dalam dua ayat pada surah al-Baqarah:

Maksudnya: "Di antara manusia ada orang yang ucapannya mengenai hal kehidupan dunia menarik hatimu (mendengarnya) dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia berpaling (meninggalkanmu) dia berjalan di muka bumi untuk melakukan kerosakan padanya dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia), sedang Allah tidak suka bencana kerosakan." (Al-Baqarah: 204-205)

Lihatlah kepada perkataan 'berusaha'. Perkataan ini memberikan makna perjalanan yang cepat dan kecergasan yang berterusan. Berusaha di atas bumi ialah berjalan dengan cepat. Perkataan ini digunakan bagi menunjukkan bahawa fitnah itu dilakukan dengan penuh usaha dan melaga-lagakan di antara manusia. Wallahu a`lam. (Tafsir al-Qurtubi, 3/67)

Sekalipun sifat di atas adalah khusus untuk kaum munafiqin, namun menurut kaedah keumuman ia mengcakupi seluruh kerosakan yang dilakukan. Bahkan segala kerosakan lain adalah lebih utama dimaksudkan oleh ayat ini kerana kedudukan hatinya yang masih mempunyai sifat keimanan dan alasan yang diberikan adalah untuk melakukan pembaikan. Ayat ini juga mengcakupi kerosakan yang diakibatkan oleh kufur dan nifaq, sebagaimana ia mengcakupi juga kerosakan yang diakibatkan oleh pendustaan dan pemudharatan. Ayat pertama menunjukkan bahawa di antara sifat mereka ialah bahawa mereka merasa kagum dengan diri mereka dan dengan kata-kata mereka sendiri. Sekumpulan ulama yang di antara mereka terdiri daripada tabi`in yang dihormati, seperti Qatadah dan Mujahid, berkata:

"...Ayat ini diturunkan kepada setiap orang yang menyembunyikan kekufuran dan nifaq, atau pendustaan dan pemudharatan, sedang dia menzahirkan keadaan sebaliknya dengan lidahnya. Ayat ini menyerupai apa yang tersebut di dalam al-Tarmizi, bahawa tersebut pada sebahagian kitab Allah: Sesungguhnya di kalangan hamba Allah ada satu golongan yang mempunyai lidah yang lebih manis daripada madu, tetapi hati mereka lebih pahit daripada jadam. Ketika berhadapan dengan orang ramai pakaian mereka adalah ibarat bulu bebiri lantaran kelembutannya. Mereka membeli dunia dengan menjual agama mereka. Allah swt berfirman: "Adakah denganKu mereka tertipu? Adakah ke atasKu mereka memberanikan diri? Aku bersumpah dengan namaKu, bahawa aku pasti akan mendatangkan fitnah kepada mereka, yang menjadikan orang yang paling baik di kalangan mereka menjadi bingung..." (Tafsir al-Qurtubi, 3/15)

Diperhatikan daripada penafsiran di atas, bahawa ayat tersebut adalah umum, mencakupi kufur dan nifaq, sebagaimana ia mencakupi pendustaan dan pemudharatan. Ia adalah fitnah di mana para pendokongnya memiliki lidah yang lebih manis daripada madu dan berpakaian kulit yang amat lembut, tetapi pada hakikatnya mereka adalah ahli kepada perpecahan dan kemudharatan.

No comments:

Post a Comment