Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XVIII


Mangsa Fitnah adalah Orang Bawahan


Adalah diperhatikan melalui pengkajian terhadap fitnah-fitnah yang berlaku, bahawa terdapat satu sifat yang menjadi ciri kepada kebanyakan ahli fitnah. Kebanyakan ahli fitnah adalah terdiri daripada orang awam dan kebanyakan, atau mereka bukanlah daripada keluarga-keluarga yang terkenal dan mendapat tempat di dalam masyarakat.

Menjadikan kemuliaan atau keturunan sebagai salah satu kaedah membezakan adalah di antara perkara yang amat sukar. Kerana pada zahirnya ia adalah bertentangan dengan kaedah syariat yang umum dan ini sudah tentu menyukarkan kita untuk memahamkannya kepada para da`i. Tetapi dari segi realiti, banyak nas-nas yang menyokong kenyataan di atas, dengan catatan bahawa neraca seseorang individu yang diambil kira ialah yang berkaitan dengan agamanya sahaja.

Kelebihan manusia adalah kerana taqwanya. Tetapi taqwa dibina di atas beberapa sifat. Sifat pada kebiasaannya dapat dihasilkan. Maka sesuatu sifat dan ciri yang baik, kemungkinan besar akan dapat dihasilkan jika seseorang individu itu hidup di kalangan keluarga yang baik dan dihormati. Demikian juga sebaiknya. Tetapi ini bukanlah satu kaedah yang tetap seratus peratus. Kerana kadang-kadang terdapat di kalangan keluarga yang rosak, individu atau anggotanya yang bertaqwa. Begitu juga sebaliknya. Kemuliaan sesebuah keluarga dan keturunan yang dijadikan sebagai dasar bahawa seseorang anggotanya juga bersifat baik, tidaklah bererti kerana dia mempunyai darah atau keturunan tertentu, tetapi ia hendaklah dibina di atas dasar agama. Berapa banyak keluarga yang membawa kemuliaan kerana bapanya seorang alim atau pejuang, sedangkan keluarganya sebelum itu sedikitpun tidak mendapat tempat. Berapa banyak pula keluarga yang mendapat tempat yang tinggi kerana anggotanya yang melakukan pembaikan. Berapa banyak pula keturunan yang mulia, atau yang mempunyai nama baik, kemudian penyelewengan yang dilakukan oleh anggotanya pada sesuatu masa menyebabkan keturunannya kehilangan kemuliaan dan keturunan tersebut. Untuk menjelaskan tentang perkara ini dengan lebih lanjut, perlu dibincangkan di tempat lain. Tetapi kita berpada -untuk membuktikan tentang perkara ini- dengan menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Ausat daripada jalan Sa`id bin Jubair:

Maksudnya: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga kejahatan dan kebakhilan menjadi suatu fenomena biasa, orang yang amanah dikatakan khianat, orang yang khianat diberikan amanah, al-wu`ul akan musnah (tiada) dan al-tuhut akan lahir." Mereka bertanya: "Apakah al-tuhut dan apakah al-wu`ul?" Baginda berkata: "Al-Wu`ul ialah orang-orang yang terkemuka dan mulia, dan al-tuhut ialah orang-orang yang berada di bawah tapak kaki manusia, tidak dikenali ramai."

Di dalam riwayat Abdullah bin Mas`ud: "Kami bertanya: "Apakah al-tuhut?" Baginda menjawab: "Orang-orang lelaki yang kecil dan anggota keluarga yang tidak dikenali." Kami bertanya lagi: "Apakah al-wu`ul?" Baginda menjawab: "Anggota keluarga yang baik-baik." (Fath al-Bari, 13/15)


TAMAT

1 comment: