Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XII


Adakah mereka saling pesan-memesan dengannya??

Nas-nas yang menceritakan tentang golongan kafir, munafiqin dan golongan murtad, sepatutnya menjadi petanda yang mesti dipegang oleh kaum muslimin dan mereka mesti berhati-hati agar mereka tidak terlibat dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh golongan-golongan tersebut. Mereka hendaklah tidak berakhlak dengan akhlak kaum munafiqin, dengan mempunyai sifat takabbur terhadap para da`i yang mempunyai kelebihan dan juga terhadap pemimpin, sekalipun dengan alasan yang amat kecil. Kerana yang kecil akan membaca kepada yang besar. Dosa yang kecil akan membawa kepada dosa yang besar. Sekalipun demikian banyak amaran yang diberikan, kita masih mendengar daripada kalangan ahli masih melemparkan tuduhan dan berakhlak dengan akhlak tersebut. Berapa ramai orang yang mempunyai kelebihan dituduh melakukan keburukan. Berapa ramai orang yang bertaqwa dituduh melakukan kekejian. Berapa ramai orang yang alim dituduh jahil. Itulah sifat fitnah yang menjadikan mata buta dan menghilangkan pertimbangan akal yang waras.

Pernah berlaku di dalam jamaah satu fitnah di mana salah seorang pelopornya membuat tuduhan terhadap pemimpin jamaah dengan mengatakan bahawa beliau tidak memahami masalah fikah sedikitpun. Apa yang diketahuinya tentang fikah hanyalah pada masalah haidh dan nifas sahaja. Peristiwa ini sudah lama berlaku. Kemudian pada satu ketika, ada seorang penulis terbaca rangkap-rangkap yang ditulis oleh `Amru bin `Ubaid -seorang mu`tazilah- yang berkata:

"Tidakkah kamu telah mendengar, perkataan al-Hasan dan Ibnu Sirin tidak lain dan tidak bukan hanyalah cebisan kain buruk yang digunakan untuk mengesat darah haidh."

Diriwayatkan bahawa seorang pemimpin ahli bid`ah ingin mengatakan bahawa ilmu kalam itu lebih baik daripada ilmu fikah, lalu dia berkata: "Kesemua ilmu Shafi`i dan Abu Hanifah tidak lebih hanya keluar daripada seluar seorang perempuan." (Al-I`tisam, al-Shatibi, 2/239)

Kita juga telah mendengar bahawa penduduk Kufah berkata tentang Sa`ad bin Abi Waqqas bahawa beliau tidak dapat membaca al-Quran dengan baik. Kita juga telah mendengar daripada orang-orang yang menyerupai ahli fitnah mengatakan bahawa para pemimpin jamaah kita tidak mampu membaca al-Quran dengan baik. Kita juga telah membaca apakah yang dikatakan terhadap Uthman r.a. ketika beliau mengutamakan kaum keluarganya, bahkan kita mendengar ahli-ahli fitnah sentiasa mengulang-ulangi tuduhan yang sama.

Maha suci Allah. Hati-hati dan lidah-lidah mereka amat hampir dan serupa.

Firman Allah:

Maksudnya: "Apakah mereka semua saling berpesan dengannya (apa yang mereka katakan), bahkan mereka adalah kaum yang melampaui batas." (Al-Zariyat: 53)

No comments:

Post a Comment