Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XIII

Tuduhan Terhadap Al-Miqdad

Ciri berikut ini merupakan ikutan kepada ciri yang lalu. Sebahagian para da`i pada mulanya tidak pernah dikritik, bahkan beliau disukai oleh oleh rakan-rakannya dan orang-orang lain pula mengakui bahawa dia seorang yang warak atau alim. Tetapi apabila beliau dilantik untuk memegang sesuatu jawatan, atau beliau mendapat sesuatu keuntungan sekalipun yang berbentuk duniawi, apatah lagi jika beliau mendapat sesuatu jawatan di dalam jamaah, atau terserlah kelebihannya ke atas orang lain, maka pada ketika itu, lidah-lidah ahli fitnah mula mereka-reka cerita dan khabar angin. Pujian bertukar menjadi kejian. Kelebihan menjadi kekurangan. Alim menjadi jahil. Warak menjadi maksiat. Cerita-cerita tentang kesilapan dan kesalahannya diperbesar-besarkan dan dilakukan dengan cara berlebih-lebihan. Apa yang tersembunyi dan tidak diketahui tentang dirinya disebar dan digembar-gemburkan. Kadang-kadang isteri dan kaum keluarganya turut dilibatkan. Kebolehan dan kemampuannya dipersoalkan. Tentang perkara ini juga kejadian yang serupa telah berlaku, iaitu ketika fitnah yang pertama menimpa ummat Islam. Uthman bin Affan adalah seorang yang disenangi. Tiada seorangpun yang berani mempersoalkan tentang kelebihannya. Tetapi sebaik sahaja beliau menjadi khalifah, ahli fitnah mula membuat bermacam fitnah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Sirin. Ibnu Sirin juga berkata tentang Imam Ali r.a., katanya: "Aku tidak mengetahui ada sesiapa yang dituduh menumpahkan darah Uthman melainkan setelah beliau dilantik menjadi khalifah. Sebaik sahaja beliau dilantik, orang ramai mula menuduh beliau."
Perlakuan ganjil yang dilakukan ini adalah semata-mata bertujuan mendapat keuntungan, juga sebagai alasan terhadap sesuatu pendirian yang diambil dan juga kerana kedengkian terhadap kedudukan yang dicapai oleh seseorang individu. Kemarahan yang lahir daripada kalangan ahli fitnah bukanlah kerana mempertahankan kebenaran, bukan untuk menegakkan panji pembaikan dan bukan bertujuan untuk melaksanakan sesuatu yang mendatangkan maslahat, tetapi untuk mengeksploitasi suasana yang berlaku bagi mencemarkan kejernihan yang ada, juga untuk menanam bibit-bibit fitnah agar melahirkan benih-benih perpecahan. Kesalahan-kesalahan dan kesilapan-kesilapan yang dibongkarkan adalah bertujuan untuk melontarkan panah tuduhan dan menyemai bibit-bibit perpecahan. Akhir-akhir ini, kedengaran salah seorang ahli fitnah mengkritik seorang pemimpin bahawa dia seorang yang tidak memiliki pengetahuan yang luas, bahkan diaibkan dengan keturunannya!! Tetapi pembawa fitnah ini sebenarnya telah didahului oleh orang lain. Di dalam sahih al-Bukhari, ketika Rasulullah s.a.w melantik Usamah bin Zaid sebagai ketua tentera, ahli-ahli fitnah mula mengkritiknya. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka:
Maksudnya: "Jika kamu mengkritik terhadap kepimpinannya, maka kamu dahulunya juga telah mengkritik terhadap kepimpinan ayahnya. Demi Allah, dia (Zaid) adalah seorang yang layak memegang kepimpinan dan dia adalah di antara orang yang paling aku kasihi. Sementara Usamah pula adalah di antara orang yang paling aku kasihi selepas ayahnya..." (Riwayat al-Bukhari, al-Fath, 7/87)

Hari ini amat serupa dengan semalam. Jiwa-jiwa hari ini amat hampir dengan jiwa-jiwa semalam. Kita tidaklah mendakwa bahawa para pemimpin dakwah dan jamaah terpelihara daripada sebarang kesalahan dan kesilapan, begitu juga pendakwah dan ikhwan yang lain. Tetapi untuk membaiki kesilapan pemimpin, kegelinciran jamaah, perlakuan beberapa individu yang menyimpang, mengingkari kesalahan syarak yang mungkin mereka lakukan, atau kesilapan yang mungkin dilakukan ketika melancarkan pergerakan dakwah, atau tidak menepati kebenaran, atau tidak melaksanakan peraturan yang telah ditetapkan, atau tidak iltizam dengan keputusan syura, dan memperingatkan mereka tentang bahaya kesemua perkara tersebut, tidaklah harus dilakukan dengan menggembar-gemburkan fitnah, memperbanyakkan bisik-bisik dan memecah belahkan saf. Untuk menangani kesemua masalah di atas, terdapat berbagai cara dan jalan yang telah disediakan oleh syarak dan diperjelaskan oleh adab Islam, kaedah-kaedah menegur secara adil, pekeliling dan sistem yang telah disusun oleh jamaah serta cara-cara yang telah diperakui oleh tanzim dan lain-lain lagi.

Manakala membangkitkan perasaan memberontak di kalangan ahli-ahli jamaah, mewujudkan klik-klik di dalam jamaah, membuat berbagai helah untuk tidak mematuhi peraturan, mengumpat peribadi-peribadi tertentu, merendahkan golongan yang mempunyai kelebihan, mencari-cari kesilapan orang dan lebih dari itu menjadikan orang lain turut terlibat di dalam fitnah ini, atau memecah belahkan di kalangan ikhwan, menyebabkan huru-hara, menggembar-gemburkan keburukan, membongkar rahsia, terang-terangan melakukan keaiban, maka kesemuanya sedikitpun tidak mencerminkan akhlak Islam dan tidak terdiri daripada manhaj istiqamah.

No comments:

Post a Comment