Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XV


Perselisihan Di Kalangan Para Pemimpin

Tidak syak lagi bahawa setiap orang adalah ibarat logam. Masing-masing dipengaruhi oleh beberapa faktor di dalam pembentukan keperibadian mereka, seperti faktor kesediaan fitrah, kemampuan diri, keintelektualan jati, lama bersama jamaah, pengalaman, suasana keluarga dan persekitaran, di samping sifat-sifat jiwa dan akhlak tertentu yang dikurniakan oleh Allah sehingga menjadikan setiap orang mempunyai ciri-ciri dan keistimewaannya yang tersendiri, memiliki pandangan yang tersendiri terhadap kehidupan dan tabiat pemikiran dan cara menjalani kehidupan yang tersendiri juga.

Para da`i secara umumnya dan para pemimpin secara khususnya adalah tidak terkeluar daripada lingkungan manusia. Sekalipun mereka mempunyai aqidah dan pemikiran yang hampir serupa, bahkan kadang-kadang mempunyai perancangan yang sama, tetapi sudah pasti akan berlaku sedikit sebanyak perselisihan di dalam pemikiran atau di dalam metodologi pemikiran, atau kelainan ketika melaksanakan sesuatu. Bahkan kadang-kadang kita dapat melihat dua individu yang berada di dalam kepemimpinan yang sama, yang kedua-duanya secara umum memiliki pemikiran dan manhaj yang sama, mereka juga tunduk di bawah fenomena di atas, kerana beberapa perbezaan peribadi akan menyebabkan mereka berselisih, yang mana perselisihan mereka -pada sangkaan kami- akan melajukan lagi pergerakan jamaah, membanyakkan lagi kemungkinan bahawa pendapat mereka adalah tepat, tanpa memberikan kesan terhadap kasih sayang dan ukhuwwah, serta tidak menyebabkan perpecahan atau mendatangkan keburukan kepada jamaah.

Ini adalah kerana ia adalah di antara perkara yang dikehendaki oleh Allah disebalik penciptaan manusia yang mempunyai tabiat yang berbeza dan apa yang dikehendaki oleh tabiat kehidupan. Bahkan keadaan ini adalah amat diperlukan bagi mengisi keperluan dakwah. Tetapi ahli fitnah sentiasa cuba -berdasarkan pengalaman dakwah- untuk mengeksploitasi fenomena kehidupan dan tabiat kemanusiaan ini, dengan menjuruskan perselisihan di kalangan barisan pimpinan ini untuk kepentingan falfasah fitnah yang mereka dokong. Oleh kerana itu, mereka sentiasa mengambil kesempatan daripada setiap perbincangan, kritikan, bahkan nasihat, untuk ditafsirkan dengan tafsiran yang merosakkan dan memecah belahkan.

No comments:

Post a Comment