Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XVII


Adab Seorang Murid

Untuk menyelamatkan suasana kritikal yang berlaku, menjadi kewajipan kepada para qiadah -pertamanya- agar tidak membenarkan keadaan berpuak-puak wujud dan membesar di dalam jamaah. Atau mengizinkan pengaduan-pengaduan didengar secara rahsia, berseorangan dan jauh daripada para qiadah lain. Atau mendengar dan menerima sesuatu pengaduan tanpa usul periksa. Atau memberikan alasan bahawa mendengar pengaduan secara rahsia adalah bagi memberikan peluang seluas-luasnya kepada si pengadu mengeluarkan segala isi hatinya tanpa sebarang halangan, kerana dengan hanya mendengar pengaduan itu sahaja sudah menunjukkan persetujuan terhadap pengaduan itu.

Atau memberikan isyarat seolah-olah dia tidak membangkang terhadap pengaduan yang dikemukakan. Dia hendaklah menunjukkan bahawa dia tidak terkesan dengan pengaduan yang dikemukakan walaupun dikemukakan dalam keadaan menangis, kerana saudara-saudara Yusuf datang kepada bapa mereka ketika waktu Isyak dalam keadaan menangis!!

Dari segi tarbiah pula, hendaklah dipastikan bahawa setiap da`i menjauhi perselisihan yang berlaku di kalangan qiadah. Akh yang baru hendaklah ditarbiahkan di atas dasar ini. Janganlah dicampur adukkan di antara mafhum ukhuwwah di dalam Islam dengan meninggalkan berlaku baik yang selayaknya dengan mereka yang mempunyai kelebihan. Hak-hak Islam dan hak-hak keanggotaan di dalam sesebuah jamaah janganlah disalah mengertikan, dengan menganggapnya sebagai lesen untuk melanggar kebiasaan, atau menghilangkan penghormatan, atau melenyapkan perbezaan.

Kadang-kadang berlaku perselisihan di kalangan para pemimpin, sebagaimana perselisihan yang berlaku di kalangan para ulama pada masa dahulu atau sekarang. Kadang-kadang berlaku perselisihan dari segi cara pergerakan di kalangan pimpinan dakwah, bahkan kadang-kadang perselisihan pendapat berlaku di dalam satu jamaah.

Perselisihan seumpama ini berlaku di kalangan mereka, tetapi ia tidak memudharatkan mereka. Manakala orang lain hendaklah tidak campur tangan dan berpegang dengan kaedah seorang murid, yang dikatakan kepadanya:
"Wahai murid, anda hendaklah melalui jalan yang penuh adab dengan para imam yang telah lalu. Janganlah anda melihat kepada kata-kata sebahagian mereka terhadap sebahagian yang lain, kecuali jika ada didatangkan bukti yang nyata. Kemudian jika anda mampu untuk mentakwil dan melakukan sangkaan yang baik, maka berbuatlah demikian. Jika tidak, tinggalkanlah apa yang berlaku di antara mereka. Persibukkanlah diri anda dengan perkara yang berkaitan dan tinggalkanlah perkara yang tidak berkaitan..." (Tabaqat al-Shafi`iyyah, Ibn al-Subki, 2/39)

Ini merupakan asal kepada tindak tanduk seorang murid dengan para imam dan asal kepada tindak tanduk seorang penuntut ilmu dengan para ulama. Oleh itu sepatutnya, para da`i juga bersikap demikian ketika berhadapan dengan perselisihan para pimpinan. Begitu juga orang baru dan para pengikut ketika berhadapan dengan perselisihan golongan terdahulu dan pemimpin. Kerana yang menjadi matlamat utama ialah menyibukkan diri dengan perkara yang berkaitan sahaja dan meninggalkan apa-apa yang tidak berkaitan. Itulah yang menjamin pahala dan balasan baik, sedangkan jika dilakukan sebaliknya, akan berlakulah fitnah dan bala bencana.

No comments:

Post a Comment