Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XIV

Kebenaran Yang Sedikit Dengan Kebatilan Yang Banyak

Diperhatikan bahawa sesuatu fitnah amat sukar untuk berkembang selagimana ia tidak bersandar kepada sedikit kebenaran. Api yang memusnahkan sudah pasti ada permulaannya. Peringatan kepada kaedah ini adalah penting di sini dari sudut pentarbiahan, supaya para da`i tidak berpendapat bahawa kritikan yang diperkatakan tentang ahli fitnah ini tidak boleh diqiaskan dengan sebahagian individu dan jamaah lantaran pada sebahagian pendapat dan sikap mereka terdapat kesepakatan dengan sedikit kebenaran. Kerana fitnah adalah salah lantaran ia akan membawa kepada kerosakan, bukan kerana pendapat yang menjadi dasar kepada fitnah itu.

Bahkan menjadi satu kaedah umum bahawa setiap fitnah yang berlaku adalah bergantung kepada sedikit kebenaran, tetapi ahli yang mendokong fitnah ini mencampur adukkan sedikit kebenaran tersebut dengan berbagai-bagai kebatilan.

Mereka mencampurkan di antara keyakinan yang sedikit dan sangkaan yang banyak, lalu sesuatu perkara itu tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan sesuatu sikap tidak ditafsirkan sebagaimana sepatutnya. Cerita-cerita bercampur aduk. Sebab-sebab dan alasan-alasan tidak lagi dikaji. Khususnya ijtihad yang dilakukan oleh para pemimpin adalah tunduk kepada banyak faktor dan suasana tertentu, ditentukan oleh sebab-sebab, disempadankan oleh beberapa suasana dan rahsia, juga dikelilingi oleh kesukaran dan halangan.

Jika kita kembali kembali fitnah pertama yang berlaku di zaman Uthman r.a., kita akan dapati bahawa beliau tidak pernah mempunyai aib atau kekurangan, tetapi ahli fitnah telah mencampuradukkan kebatilan yang banyak dengan sedikit kebenaran yang ada bersama dengan mereka. Pada setiap masalah Uthman mempunyai ijtihadnya dan sebabnya yang tersendiri. Kita tidaklah mahu mempertahankan Uthman di sini. Tetapi kita mahu membuktikan tentang fenomena ini, bagaimana ahli fitnah sentiasa menambah-nambah dan melebih-lebihkan sesuatu. Selepas itu disebarkan berita-berita dan gossip-gossip yang tidak benar, tetapi kelihatan kepada rakyat umum seolah-olah ia adalah kebenaran dan mereka nampak bahawa ketepatan itu bersama ahli perpecahan.

Dalam waktu yang sama, ahli kebenaran sukar untuk menangkis segala serangan dan tuduhan, serta mustahil untuk para pemimpin membincangkan tentangnya secara terang-terangan, mungkin kerana bimbangkan rahsia jamaah akan terbongkar, atau kerana menjaga maklumat-maklumat penting daripada terlepas kepada pihak musuh, atau bertujuan tidak mahu menyebabkan timbul masalah yang lebih besar, atau kerana tidak ingin membangkitkan perasaan tidak senang sesama sendiri, ditambah lagi dengan keinginan untuk menjaga kejernihan hati dan jiwa, tidak melampaui adab-adab Islam, atau terheret sama ke arah perdebatan. Kesemua faktor-faktor yang dinyatakan di atas akan menyebabkan seseorang akan menyangka bahawa kebenaran adalah bersama dengan ahli fitnah dan urusan jamaah sekarang tidak berada di atas landasan kebenaran.

Adalah diperhatikan sepanjang sejarah dakwah, bahawa ahli fitnah ini bermula dengan satu hujjah sahaja. Kemudian hujjah-hujjah mereka mula berkembang mengikut hawa nafsu, bahkan kadang-kadang hujjah-hujjah mereka saling bertentangan, kerana selepas beberapa ketika alasan kepada fitnah itu sudah tidak jelas lagi. Alasan-alasan mereka mula dilindungi dengan cara yang berbagai. Bukankah anda kadang-kadang mendengar daripada seseorang yang membawa fitnah dan mencampurkannya dengan berbagai-bagai tuduhan lain lagi, yang menggambarkan tentang hawa nafsunya dan dalaman dirinya. Tetapi akhirnya kita akan mengetahui bahawa apa yang dilakukannya, sebenarnya adalah hasutan syaitan yang dapat dikenal pasti melalui alunan percakapan lidah mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment