Sunday, January 17, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI VIII

Perhimpunan Orang-orang Yang Bersengketa


Satu fenomena lagi didapati berlaku di medan dakwah. Ia berulang kali berlaku sepanjang sejarah amal Islami, iaitu perhimpunan ahli fitnah biasanya berlaku dengan cepat. Semua golongan yang bersengketa akan bertemu. Semua golongan yang tidak sehaluan akan bersatu untuk menentang jamaah atau mengganggu kepimpinan qiadah jamaah Islam. Di situ semua yang memiliki fikrah yang berbagai-bagai dan keinginan yang berlainan bertemu. Mereka dihimpunkan dan dinaungi oleh bendera atau panji fitnah dan perpecahan.

Apabila sahaja fitnah berakhir, mereka sesama mereka pula yang akan berpecah belah. Akan berlaku caci mencaci dan saling tuduh menuduh sehingga para da`i yang benar akan meyakini bahawa ini adalah satu kaedah yang tetap, berlaku pada setiap fitnah yang melanda. Pengalaman dan penyaksian terhadap realiti yang benar-benar berlaku menambahkan keyakinan ini.

Bahkan kaedah ini adalah lebih umum kerana ia berlaku kepada setiap ahli maksiat, kerana Allah meletakkan perasaan permusuhan dan kemarahan di antara mereka. Setiap majlis meminum arak sudah pasti akan diakhiri dengan irihati dan dengki mendengki. Setiap perhimpunan yang dipenuhi dengan pendustaan, sudah pasti akan berakhir dengan kemarahan. Setiap perhimpunan yang dipenuhi dengan kekejian sudah pasti akan berakhir dengan persengketaan. Setiap persepakatan untuk melakukan kemungkaran sudah pasti akan berakhir dengan pergaduhan. Manakala kasih sayang dan pertautan hati merupakan ciri-ciri ahli kebaikan... Terhimpun pada semua maksiat dua sifat berikut: Permusuhan dan kemarahan, serta penghalangan daripada mengingati Allah dan juga solat. Manakala sifat berkasih sayang dan pertautan hati hanya berlaku dengan iman dan amal salih. Ini sebagaimana difirmankan oleh Allah swt:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang." (Maryam: 96)

Iaitu Allah akan mencampakkan perasaan kasih sayang di antara mereka lalu sebahagian daripada mereka akan mengasihi sebahagian yang lain. Mereka berkasih sayang dan hati mereka bertaut lantaran perasaan kasih sayang yang di campakkan oleh Allah swt ke dalam hati mereka...

Manakala ahli maksiat dan kefasiqan, sekalipun kadang-kadang nampaknya ada kasih sayang di antara mereka, tetapi tidak lama kemudian sudah pasti ia akan bertukar menjadi permusuhan dan kemarahan. Keadaan tersebut sudah berlaku di dunia lagi sebelum di akhirat, manakala di akhirat, Allah berfirman:

Maksudnya: "Teman-teman rapat pada hari itu, sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." (A-Zukhruf: 67)

Oleh kerana itu, adalah diperhatikan bahawa ahli-ahli fitnah ini selepas mereka bersatu, mereka pasti akan berselisih. Panah tuduhan pasti akan mengenai ketua pembawa fitnah atau perpecahan. Dia akan dituduh sebagai seorang yang mengkhianati prinsip. Berkemungkinan dia juga akan dituduh sebagai seorang pencuri, cuai, bermuka-muka, bahkan kadang-kadang dituduh kafir pada sesetengah keadaan.

Apa yang berlaku kepada ahli fitnah, berlaku juga kepada kaum munafiqin dan musyrikin, bahkan nas-nas syarak lebih menegaskannya lagi kepada mereka. Allah swt menyebutkan tentang perkara ini supaya orang-orang yang beriman berhati-hati daripada menyerupai mereka. Mereka yang terlibat dengan fitnah ini sudah pasti akan membersihkan diri mereka atau tidak mengaku bahawa mereka terlibat dengannya dan dengan para pemimpin mereka. Ini adalah sebagaimana yang berlaku kepada kaum musyrikin di mana mereka pasti akan berlepas diri dan tidak mengaku terlibat dengan kesyirikan yang mereka lakukan ketika mereka melihat kebenaran dengan mata kepala mereka sendiri. Begitu juga kepada kaum munafiqin di mana mereka pasti akan berlepas tangan daripada kawan-kawan mereka dan jamaah mereka. Begitu juga yang berlaku kepada ahli fitnah. Ini adalah sebagai membuktikan kebenaran firman Allah dan sebagai perlaksanaan kepada kehendak-Nya. Firman Allah:

Maksudnya: "Kemudian tiadalah fitnah mereka selain mereka menjawab: "Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)." (Al-An`am: 23)

Abu Ishaq al-Zajjaj berkata:

"Pentakwilan ayat ini amat menarik. Allah swt memberitahu tentang kisah-kisah orang musyrikin dan bagaimana mereka terfitnah dengan kesyirikan mereka. Kemudian Dia memberitahu bahawa ketika mereka melihat kebenaran, mereka pasti akan menafikan bahawa mereka terlibat dengannya. Bandingan tentang perkara ini ialah sebagaimana yang terdapat di dalam masalah bahasa, bahawa anda melihat seseorang yang suka kepada seorang yang penyeru kesesatan, tetapi apabila penyeru itu terjatuh ke dalam sesuatu kebinasaan, dia akan berlepas diri daripadanya. Lalu dikatakan kepada orang seperti ini: "Kesukaan engkau kepadanya hanyalah untuk engkau berlepas diri daripadanya." Al-Hasan berkata: "Ini adalah khusus buat kaum munafiqin. Inilah adat mereka semasa berada di dunia. Maksud 'fitnah mereka' ialah akibat atau natijah daripada fitnah yang mereka lakukan." (Tafsir al-Qurtubi, 6/402)

Akhirnya dalam permasalahan ini disebutkan apa yang berlaku kepada para pembunuh Sayyidina Uthman r.a., di mana telah dicurahkan perasaan permusuhan, kemarahan dan keliaran di antara sesama mereka, sedangkan sebelum itu mereka sentiasa berhubungan. Kemudian mereka berpecah belah kepada beberapa puak sebagai balasan hasil perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Mereka telah dihapuskan oleh Khalid bin al-Walid dengan pukulan-pukulan pedang sebagai lanjutan daripada pedang ayahnya. Hakikat ini telah disedari oleh penyair Rasulullah s.a.w, lalu beliau berkata ketika menangisi pemergian Khalifah Uthman yang syahid, sebagaimana dinukilkan oleh Mujalid daripada al-Sha`biyy, beliau berkata: "Aku tidak pernah mendengar syair yang diucapkan tentang pemergian Sayyidina Uthman yang terlebih baik daripada syair yang diucapkan oleh Ka`ab bin Malik:

Maksudnya:

Lalu beliau (Uthman) menahan tangan dan menutup pintunya,

dan dia yakin bahawa Allah tidak lalai.

Beliau berkata kepada penduduk rumahnya, janganlah kamu membunuh mereka,

semoga Allah memaafkan kepada setiap yang tidak menghunuskan senjatanya.

Bagaimana anda melihat bahawa Allah mencurahkan ke atas mereka,

perasaan kemarahan selepas mereka berkasih sayang.

Bagaimana anda melihat selepas kematiannya orang lain berpaling,

daripada semua manusia sebagaimana kumpulan burung-burung unta.

(Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/215)

No comments:

Post a Comment