Sunday, January 17, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI VII


Sebagaimana Terserlahnya Tanduk Kambing

Ali bin Abi Talib k.w. telah menyedari tentang pengertian ini. Beliau pernah menyifatkan fenomena ini dengan terus terang. Beliau berkata tentang salah seorang ahli fitnah, bahawa dia seorang yang tidak dikenali di dalam jamaah. Semasa dijalankan kerja-kerja yang serius, dia tidak kelihatan. Tetapi dia hanya dikenali ketika berlaku fitnah. Lidahnya keras mengkritik. Dia amat mahir menjatuhkan maruah orang. Al-Haithami meriwayatkan kata-kata seorang ahli fitnah kepada Ali bin Abi Talib di dalam Majma` al-Zawa'id, daripada al-Tabarani: "Sesungguhnya engkau -demi Allah- tidak pernah menegah kami. Bahkan engkau menyuruh dan menghasut kami. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang engkau tidak suka, engkau melepaskan dirimu dan mengatakan bahawa engkau tidak bersalah, bahkan engkau mempersalahkan kami terhadap dosa yang engkau lakukan." Lalu Ali bin Abi Talib r.a berkata: "Celaka engkau. Demi Allah, dahulunya ketika muslimin bersatu padu, engkau bukanlah seorang yang dikenali. Tetapi apabila berlaku fitnah ini, engkau tiba-tiba muncul terserlah sebagaimana terserlahnya tanduk kambing..." (Sair A`lam al-Nubala', karangan al-Zahabi, 1/120)

Di sini Ali melihat kemunculan ahli fitnah adalah sebagaimana kemunculan tanduk kambing di dalam kumpulan kambingnya. Gambaran yang diberikan ini amat tepat. Ia juga disaksikan dan dikuatkan oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku dan fitnah-fitnah yang berleluasa. Berapa ramai orang yang tidak terkenal tiba-tiba namanya menjadi masyhur ketika berlaku fitnah. Berapa ramai orang yang tidak dikenali tiba-tiba tulisannya muncul di tengah-tengah fitnah yang berlaku.

Pada ketika itu orang yang jahil bercakap seolah-olah dia adalah seorang yang alim. Ahli biasa pula berbicara seolah-olah dia adalah pemimpin tertinggi. Orang yang terpedaya pula berurusan seolah-olah dia adalah syaikh (guru) kepada golongan bertaqwa. Manakala orang yang bodoh pula bercakap seolah-olah dia adalah ulama yang paling utama. Demikianlah, para penyeru fitnah dan perpecahan sentiasa diketuai oleh seorang yang jahil dan bodoh.

No comments:

Post a Comment