Saturday, January 23, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XVI


Pengajaran Daripada Dua Orang Imam

Sesiapa yang mengkaji perjalanan hidup Uthman dan Ali r.a. akan dapat melihat bahawa mereka berdua adalah orang yang paling mulia dari kalangan qabilah Quraish, di antara orang yang paling mula-mula masuk Islam dan di antara orang yang paling rapat dengan Rasulullah s.a.w sama ada dari segi persahabatan dan pergaulan. Mereka juga adalah orang yang paling hampir kepada baginda dari segi kasih sayang. Ummat Islam berijmak dan sepakat bahawa mereka adalah orang paling baik selepas Abu Bakar dan Umar. Mereka juga adalah di antara orang yang paling kuat berpegang dengan sunnah. Kedua-dua mereka juga mempunyai kedudukan yang berlebih kurang dari segi kelebihan. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai perbezaan yang disebabkan oleh sifat-sifat kejiwaan. Kesan yang paling utama ialah sifat-sifat yang berkaitan dengan hubungan mereka dengan orang ramai.

Uthman mempunyai sifat lemah lembut yang menjadikannya bersifat menurut keadaan, manakala Ali pula mempunyai sifat kepahlawanan dan keberanian yang menyebabkannya tidak suka melainkan berterus terang. Tetapi perbezaan di antara keperibadian mereka sama sekali tidak sampai mengeluarkan mereka daripada ciri-ciri khusus yang mereka miliki bersama.

Walau bagaimanapun, ahli fitnah tidak memadai dengan pengertian-pengertian ini. Lalu setiap kumpulan berdiri di belakang salah seorang daripada keduanya kerana hawa nafsu. Perkataan-perkataan yang dikeluarkan telah disalah mengertikan. Kemudian keadaan menjadi lebih teruk di mana ada yang berani mencipta hadis dan membuat surat-surat. Apa yang hendak kita tekankan di sini bukanlah pada masalah fitnah itu kadang-kadang boleh sampai kepada keadaan yang amat kritikal ini, tetapi apa yang hendak ditekankan ialah eksploitasi terhadap perselisihan yang berlaku di antara para pemimpin memang berlaku dan dapat disaksikan di kalangan ahli fitnah. Perselisihan yang berlaku adalah disebabkan para pemimpin terdiri daripada keperibadian yang berbeza lantaran latar belakang yang berbagai-bagai. Di antara mereka ada yang lebih cenderung kepada berbaik dan berdamai. Ada yang bersifat pemarah. Ada yang banyak melakukan pengkajian terhadap kitab-kitab tasauf, lalu dia memetik perkataan-perkataan seorang murid dengan gurunya. Ada yang banyak mengkaji kitab-kitab hadis, lalu berpegang dengan kaedah jarh dan ta`dil. Ummat Islam sekarang masih lagi memiliki rijal-rijal yang seumpama itu. Ada di antara mereka yang serupa dengan Umar dari segi keazaman dan kekerasan. Ada yang serupa dengan Abu Bakar dari segi lemah lembut. Kedua-dua keadaan ini tidak mendatangkan keburukan. Kesepakatan yang ideal akan sentiasa berlangsung di luar kekuasaan manusia. Tetapai malangnya ialah eksploitasi yang dilakukan oleh ahli fitnah. Mulut mereka sentiasa mahu berkata-kata dan telinga mereka amat suka untuk mendengar kritikan. Jiwa mereka merasa seronok untuk mendengar celaan dan membongkar kesalahan-kesalahan. Akhirnya keadaan ini menjadi kucar kacir, lalu ada yang pergi kepada kumpulan si fulan dan sebahagian yang lain pergi kepada kumpulan si fulan yang lain. Realiti yang berlaku menyaksikan bahawa pemergian yang dilakukan itu adalah kerana menurut hawa nafsu, atau untuk memberikan alasan terhadap tindakannya atau kerana ingin mempertahankan dirinya sahaja.

No comments:

Post a Comment