Saturday, January 16, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH : SIRI IV

Rawatan: Ketegasan Qiadah

Semuanya tidak akan terlaksana melainkan dengan memotong segala yang membawa kepada fitnah, dengan memotong segala sebab musabbabnya dan menjejaki semua orang-orang yang menimbulkannya. Mendiamkan diri dan memejamkan mata terhadapnya bukanlah dari sifat taqwa dan warak yang dikehendaki. Kaedah ada menyatakan bahawa menolak mafsadah hendaklah lebih diutamakan daripada mendatangkan maslahah.

Ini kerana merawat sesuatu selepas berlaku mafsadah adalah sukar, kecenderungan manusia kepada ketenangan selepas berlaku ribut taufan adalah mustahil, kejernihan hati selepas ia menjadi keruh adalah jalan yang sukar dan memandu manusia ketika berlaku kucar kacir akan membawa kepada kehancuran. Sesuatu yang dapat dirawat dengan bilangan yang sedikit tidak akan memberi manfaat jika dilakukan dengan bilangan yang ramai. Alangkah indah apa yang dituliskan oleh salah seorang salaf kepada Ibnu Hubairah ketika berlaku salah satu fitnah:
"... sesungguhnya aku menganggap penduduk Khurasan semuanya berdusta, sehingga tiada seorangpun di kalangan mereka yang bercakap benar denganku. Maka hantarlah kepadaku sepuluh ribu orang sebelum engkau menghantar seratus ribu orang yang tidak memberikan apa-apa manfaat..." (Tarikh al-Tabari, 6/63)

Pada tempat lain telah dinyatakan tentang penyelesaian selepas menganalisis sebab-sebabnya. Di sini -sebagai kembali kepada akar umbi permasalahan- hendaklah kita menyedari bahawa berbisikan, mendiamkan diri serta menurut rentak yang dimainkan oleh pembawa fitnah adalah dilarang. Penyembunyian yang dilakukan akan mengakibatkan fitnah bertambah melebar. Menurut rentak akan menggalakkan perlanggaran. Demikianlah dibuktikan oleh pengalaman dan hari-hari yang lalu.

Menghalang berbisikan, perkumpulan beberapa individu dan bermesyuarat jauh daripada kawalan qiadah merupakan di antara kewajipan yang paling utama dan proses penjagaan tarbiah yang paling penting. Al-Shahid Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat yang membicarakan tentang berbisikan berkata:
Nampaknya sebahagian kaum muslimin -yang terdiri daripada mereka yang belum sensitif dengan deria tanzim Islami-, ketika berlaku sesuatu perkara, mereka berkumpul sesama sendiri, untuk bersembang-sembang dan berbisikan serta bermesyuarat jauh daripada kawalan qiadah mereka. Keadaan ini tidak diperakui oleh tabiat perjalanan jamaah Islam dan ruh tanzim Islami yang menuntut agar segala pandangan, pendapat dan cadangan yang timbul hendaklah dibentangkan kepada qiadah secara langsung.

Perkumpulan-perkumpulan pinggirin di dalam jamaah adalah tidak dibenarkan. Adalah diperhatikan bahawa perkumpulan-perkumpulan yang wujud di dalam jamaah akan menyebabkan keadaan kucar kacir dan menyusahkan jamaah, sekalipun orang yang melakukannya kadang-kadang tidak berniat demikian. Tetapi cara pengutaraan permasalahan semasa yang dihadapi, atau pembentangan pendapat dan cadangan dengan cara demikian sudah cukup untuk membawa kepada kesulitan dan ketidak patuhan. (Fi Zilal al-Qur'an, 6/351)

No comments:

Post a Comment