Friday, January 22, 2010

FENOMENA FITNAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH SIRI XI


Semalam Amat Serupa Dengan Hari Ini

Petikan-petikan yang pendek di atas adalah diambil daripada nas-nas yang panjang. Hanya berpada dengan sebahagian nas tersebut kerana ia sudah sesuai dengan gambaran yang hendak ditunjukkan dan perbandingan yang hendak diwujudkan, di samping kata-kata semasa yang dinukilkan. Adalah amat patut agar setiap tuduhan menjadi lambang kepada salah satu syiar yang sentiasa diulang-ulangkan dan keraguan-keraguan yang dibangkitkan. Kita pernah mendengar dan sehingga sekarang kita masih mendengar, ada di antara ahli fitnah yang menuduh sesetengah pemimpin membelanjakan wang yang dipungut hasil derma, sebagaimana al-Zayyal di tuduh dahulu. Ada yang dituduh tidak pandai membaca al-Quran. Sedang yang lain pula dituduh berniaga dengan harta syubhat. Sementara yang lain pula dituduh memiliki ciri-ciri bid`ah dan ijtihad yang menyeleweng. Kemudian ada pemimpin yang dituduh tidak memahami permainan politik. Qiaskan apa yang berlaku sekarang dengan apa yang telah berlaku dahulu.

Al-Quran telah memberikan amaran kepada kita daripada terlibat dengan tuduhan-tuduhan tersebut, kerana ia merupakan syiar golongan kafir. Fir`aun telah berkata tentang Nabi Musa a.s.:
Maksudnya: "Dan Firaun berkata: "Biarkanlah aku membunuh Musa dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya, kerana aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi." (Ghafir: 26)
Maksudnya: "Dan berkata pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah kamu (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)." (Al-A`raf: 127)

Di sini kita dapati bahawa golongan kafir dan nifaq sentiasa mendakwa mereka berada di atas kebaikan dan kebenaran di hadapan kaum mukminin. Adakah gambaran yang lebih menjelaskan tentang perkara ini daripada kata-kata Fir`aun yang sesat dan penyembah berhala tentang Nabi Allah Musa a.s. "bahawa aku bimbang dia akan menukarkan agama kamu atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi"??
Bukankah inilah perkataan yang turut digunakan oleh setiap taghut yang melakukan kerosakan di muka bumi, dan mereka yang mendakwa melakukan pembaikan? Bukankah ia merupakan perkataan batil yang hodoh dan digunakan bagi berhadapan dengan kebenaran yang indah? Bukankah ia juga perkataan yang digunakan oleh si penjahat bagi membangkitkan keraguan dan syak wasangka di sisi seorang yang beriman lagi tenang? Lojik yang digunakan adalah sama. Ia berulang ketika bertembung di antara kebenaran dan kebatilan, iman dan kufur, kebaikan dan keburukan, di sepanjang zaman dan di setiap tempat. Kisah ini sentiasa berulang dari semasa ke semasa. (Fi Zilal al-Qur'an, 5/3078)

Oleh itu para da`i hendaklah sentiasa berwaspada daripada menyerupai golongan kafir, iaitu dengan mengadakan alasan bahawa fitnah yang digembar-gemburkan bertujuan untuk membaiki, bahawa mereka keluar daripada jamaah demi melakukan pembetulan, bahawa bisikan yang dilakukan di kalangan mereka bertujuan untuk berbincang, bahawa umpatan yang dilakukan bertujuan untuk mewujudkan suasana dialog, bahawa percanggahan dengan pemimpin beralasan bahawa kebenaran bukannya satu, bahawa ketidak tegasan dengan hujjah untuk mendapatkan sokongan, bahawa tidak taat kepada dakwah kerana sikap mempermudah-mudahkan, bahawa mengkritik golongan yang mempunyai kebaikan dengan alasan subjektif, bahawa meninggalkan dasar-dasar syarak dengan hujjah maslahah, bahawa menaikkan golongan lemah kepada saf pimpinan berhujjahkan keperluan dan mendedahkan kekuatan dengan hujjah keanjalan.

Tetapi kerosakan adalah tetap kerosakan, tidak boleh diubah oleh ibarat dan lafaz yang digunakan untuk menggambarkannya. Tetap teguh di atas manhaj adalah lebih utama daripada mendapat sokongan yang cepat. Kesatuan jamaah adalah lebih utama daripada mendapat sokongan di dalam satu-satu situasi. Kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu.

Perkara-perkara seperti ini pernah berlaku kepada golongan munafiqin. Di antara sebab yang menjadikan mereka murtad ialah bukan kerana mereka tidak bersetuju tentang sesuatu yang mempunyai nilai pada neraca langit. Diriwayatkan bahawa sebab kemurtadan sesetengah golongan munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w iaah apabila mereka mereka mendapati bahawa Rasulullah s.a.w memberikan keutamaan kepada Usamah bin Zaid r.a., seorang hamba hitam. Terdapat di dalam hadis sahih yang mempunyai periwayat yang thiqah, bahawa Rasulullah s.a.w melambatkan tawaf ifadhah ketika datang dari Arafah, kerana baginda menunggu Usamah. Seketika kemudian, datang Usamah, seorang hamba yang berkulit hitam legam, lalu penduduk Yaman berkata: "Adakah ini orang yang kita tunggu??" Oleh kerana itu mereka murtad -iaitu pada zaman riddah-. (Al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, 2/20, Tabaqat Ibn Sa`d, 4/262)

No comments:

Post a Comment